Empat sifat, siapa yang bersifat dengannya bererti ia seorang munafik yang nyata, dan siapa yang mempunyai salah satu dari sifat-sifat itu bererti ia mempunyai satu sifat munafik sehingga ia meninggalkan sifat itu iaitu : Apabila bercakap ia dusta, apabila berjanji ia mungkiri, apabila ia mematerikan perjanjian ia cabuli perjanjian itu dan apabila berbalah (bertengkar) ia sentiasa ingin menang. (Riwayat oleh al’Syaikhan dari Ibn ‘Amr)
Huraian :
Sifat munafik ialah sifat-sifat hipokrit (seperti sejenis binatang sesumpah) atau sifat talam dua muka atau musang berbulu ayam atau berpura-pura jujur. Seorang yang munafik ialah seorang yang berpura-pura baik dan jujur. Seorang yang bersifat telunjuk lurus kelingking berkait atau pepet di luar runcing di dalam. Ia bercakap manis tapi bohong. Ia pandai berbahasa sehingga orang boleh mempercayai percakapannya, ia pandai berjanji tapi mungkir, ia bijak mematerikan perjanjian tetapi ia cabuli dan apabila ia berbalah ia sentiasa ingin menang walaupun terpaksa menegakkan benang yang basah asalkan orang boleh percaya cakap dia, dia juga pandai bodek atau mengampu seseorang.
Seorang yang munafik ialah seorang manusia yang ada otak tapi tidak berpendirian, mudah menggadai pegangan hidup; dia ialah orang yang suka berbalah atau bertengkar. Dia boleh berubah-ubah sikap apabila diperlukan oleh kepentingannya.
… continue reading this entry.